Monday, September 30, 2013

PERNIAGAAN: KEJATUHAN BUKANLAH SATU KEGAGALAN

01/10/2013 ~ 12.13 AM: Alhamdulillah diberi Allah kekuatan untuk teruskan penulisan & perkongsian di blog ini.

Saya telah ceritakan kepada pembaca bahawa saya dahulu telah berjaya membina sebuah perniagaan dari zero hingga agak berjaya dan mendapat jualan bulanan RATUSAN RIBU RM dan mampu bergelar 'jutawan' - mempunyai stokis di 5 buah negeri dan agen melebihi 300 di seluruh Malaysia & Brunei tetapi akhirnya saya gagal mempertahankan kejayaan itu dan saya jatuh tersungkur hingga tiada apa-apa.

Jika difikirkan semula waktu itu memang amat ''menyakitkan". Namun hari ini, saya bersyukur kerana sebenarnya KEJATUHAN ITU ADALAH SATU PROSES PEMBELAJARAN.


Tuan / puan pembaca mungkin ingin tahu apa yang saya belajar dari kejatuhan itu. Saya senaraikan seperti di bawah untuk perkongsian:

1) Konsep Hubungan kita dengan PENCIPTA Rabbul Jalil. 




Berniaga adalah satu Sunnah Nabi SAW. Tentulah mendapat pahala yang besar bagi usahawan-usahawan Islam macam kita yang menyuburkan sunnah nabi jika betul niat dan caranya. Namun, ramai di kalangan kita peniaga Islam melupakan / meremehkan hubungan kita dengan Allah Rabbul Jalil yang sebenarnya menentukan rezeki kita dalam apa jua yang kita usahakan termasuk perniagaan dek kerana kesibukan kita sehari-hari melayan pelanggan & mengira setiap RM yang masuk.

Jika diimbas semula sewaktu ketika dahulu, saya juga telah melakukan banyak kesilapan waktu itu dek kerana kesibukan saya jadi lalai dan lupa. Namun begitu, sebenarnya saya cuba 'hidupkan & suburkan' amalan-amalan keagamaan dalam organisasi saya seperti bacaan doa & amalan murah rezeki setiap pagi sebelum mula kerja, bacaan Yassin dengan semua staf pada pagi Jumaat & solat jemaah pada waktu Zuhur & Asar. Namun, ada masanya bila kesibukan melanda dan rezeki masuk mencurah-curah saya jadi lalai & lupa.

6 bulan sebelum jualan perniagaan saya yang dulu semakin merosot, waktu itu baru seolah-olah tersedar. "Sudah terhantuk baru terngadah". Namun, keadaan perniagaan sudah semakin sukar untuk diperbetulkan.

"PERCAYA PADA DIRI SEMATA-MATA ITU TAKABBUR,
PERCAYA PADA DIRI & YAKIN PADA ALLAH ITULAH KEKUATAN KITA" 
                                                                                         - Datuk Ruslan Muhammad (Jutawan Motivator)

2) Kejayaan lebih mudah dicapai dengan 'BERJEMAAH'.



Saya belajar jika berjuang berseorangan adalah sesuatu yang sangat sukar dan memerlukan modal yang besar selain masa yang terlalu panjang. Kejayaan adalah lebih mudah di capai jika usaha dibuat secara berjemaah (dalam pasukan).

Ramai sahabat & rakan perniagaan tidak tahu bahawa saya memulakan karier sebagai penjawat awam sebelum memulakan bisnes sepenuh masa. Saya pernah berkhidmat sebagai AKAUNTAN dalam perkhidmatan awam di 2 buah organisasi.

Dalam perniagaan, saya bermula dengan bisnes CONSTRUCTION (Pendawaian Elektrik, plumbing dan kerja pembinaan & renovation) dan pernah terlibat dalam MLM, DIRECT SELLING, TRADING selain BARANGAN BAYI & KOLAM MEMANCING KOMERSIAL (yang telah saya sebut sebelum ini) sebelum sepenuhnya fokus pada perniagaan cetak tshirt.

Dalam semua perniagaan terdahulu (selain perniagaan cetak tshirt sekarang) saya kurang gemar dan tiada idea macamana mahu melakukan bisnes secara berjemaah atau dalam kumpulan menyebabkan perjalanan meniti kejayaan menjadi sukar dan panjang. Oleh sebab itu, bila saya melibatkan diri dalam perniagaan cetak tshirt saya cuba kumpulkan usahawan-usahawan dalam industri yang sama dengan mewujudkan Group TSHIRT PRINTING MALAYSIA (TPM) yang akhirnya dimajukan lagi menjadi sebuah PERSATUAN yang inshaAllah sedikit sebanyak boleh menjadi satu kumpulan sokongan yang bergerak bersama untuk kemajuan perniagaan masing-masing. TPM juga diharapkan dapat menjadi platform PERTUKARAN PENDAPAT & IDEA selain menjadi NETWORKING kepada semua usahawan sealiran dalam industri yang sama.

Sebenarnya, saya bukanlah 'sesiapa' dalam industri ini, tetapi atas dasar percaya jika bukan kita, siapa yang akan mulakan?Jadi, saya cuba usahakan sesuatu, walaupon ianya hanya suatu usaha kecil.

"Jangan tunggu kesempurnaan untuk bertindak kerana kesempurnaan itu akan datang kemudian setelah tindakan dilakukan".





Alhamdulillah sambutan terhadap usaha ini telah sedikit berhasil (walaupon saya tahu bukan mudah mengajak bangsa saya berjuang dalam 1 wadah pasukan / persatuan kerana bangsa kita belum biasa & bersedia dengan medium seperti ini tidak seperti bangsa lain seperti bangsa Cina yang telah turun temurun menggunakannya). Saya tahu banyak juga kata-kata sinis & sinikal ditujukan kepada saya dan team saya tetapi saya percaya jika niat dan usaha kita ikhlas & betul, lambat laun inshaAllah orang akan sedari juga.

Bak kata Datuk Ruslan Muhammad yang banyak saya catatkan;

"BILA MULUT YANG BERKATA, HANYA TELINGA YANG MENDENGAR,
TETAPI BILA HATI YANG BERCAKAP DAN HATI JUGALAH YANG MENDENGAR"

Perjuangan ini memerlukan usaha yang berterusan. Bagaimanapun, saya bertuah kerana usaha ini mendapat sokongan beberapa usahawan lain dalam industri yang sama untuk turut sama berjuang memartabatkan & memberi anjakan positif kepada usahawan tshirt bumiputera lain di Malaysia (terutamanya usahawan baru).

Kredit saya berikan kepada Tuan, Fadzil Fauzi (Timbalan TPM), Tuan Sham & Tuan Asri (Setiausaha & Timb. Setiausaha TPM), Tuan Muhammad Naim & Tuan Fairuz (Bendahari & Timb. Bendahari TPM) serta AJK-AJK TPM yang lain yang bertungkus lumus berjuang dalam TPM. InshaAllah saya berharap TPM akan menjadi lebih baik dengan usaha bersama tuan/puan sekalian.

3) GURU / MENTOR yang baik adalah 'LEBUHRAYA' dalam proses pencapaian kejayaan

Carilah GURU / MENTOR yang baik & tepat bagi memudahkan perjalanan kita mencapai kejayaan dalam perniagaan.

"MAHU JADI PAKAR DALAM INDUSTRI KITA, BERKAWANLAH DENGAN PAKAR INDUSTRI ITU"

Bak kata Nabi SAW, jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, kita akan terpalit dengan bau wanginya.

Kita boleh saja terus mencuba sendiri (cara ini lebih disukai kerana ianya biasanya PERCUMA) dengan melakukan proses 'Try & Error' tetapi kita hanya akan banyak membuang masa dengan melalui 'jalan-jalan' salah yang pernah dilalui oleh orang / usahawan terdahulu sebelum kembali ke permulaan jalan untuk memulakan sekali lagi. Proses ini sebenarnya juga akan melibatkan MODAL MASA, TENAGA & KEWANGAN yang bukan sedikit tetapi mungkin kurang disedari kerana ianya (kos) bertambah sedikit demi sedikit.

Saya sendiri mempunyai beberapa orang guru dan mentor dalam perniagaan cetak tshirt yang saya lakukan sekarang & TERBUKTI saya boleh lebih PANTAS mencapai kejayaan ke tahap tertentu dengan panduan yang diberikan oleh guru-guru / mentor-mentor saya. Hanya Copy + Paste (pastikan proses ini dilakukan dengan sedikit kreativiti kita sendiri & tidak meniru bulat-bulat kerana penting kita mempunyai 'IDENTITI') apa yang mereka lakukan, inshaAllah jika mereka berjaya, anda juga akan berjaya.

(Gambar: Step ke 4 sengaja tidak dibuat kerana menggambarkan kami telah melalui jalan yang lebih singkat berbanding guru / mentor yang dulunya melalui banyak proses yang panjang sebelum berada di tahap kejayaan mereka sekarang)

Kaedah yang sama saya gunakan dalam kursus-kursus anjuran saya dan Alhamdulillah telah ramai yang berjaya dalam masa yang amat singkat. Ini memberikan saya KEPUASAN yang tidak terhingga & sukar digambarkandengan kata-kata dalam menambah nilai untuk mereka mengubah hidup & mencapai kejayaan.

Kredit untuk guru-guru & mentor saya dalam percetakan tshirt : Arwah Tn Din, Tn Azmi & Tn Zam. Alfatihah bagi yang telah pergi & bagi mereka yang masih hidup, saya doakan mereka terus berjaya.

TIPS: Hadirkan diri dalam kursus / seminar anjuran USAHAWAN YANG TELAH BERJAYA membolehkan kita mudah untuk berinteraksi / meminta pandangan beliau sekiranya kita memerlukan berbanding kita meminta pendapat beliau secara percuma apatah lagi melalui medium maya (sedangkan kita tidak pernah bersemuka atau mengenali beliau secara peribadi tentulah agak sukar untuk beliau mahu berkongsi). Kos yang kita bayar untuk kursus / seminar telah menjimatkan banyak masa, tenaga & wang ringgit yang mungkin kita laburkan dalam proses 'try & error'.

"ILMU TIDAK MENDATANGI, 
ILMU MESTI DIDATANGI" - Datuk Ruslan Muhammad (Jutawan Motivator) 

Lain- lain yang saya boleh sebutkan sahaja & akan saya kongsikan kemudian:

4) ILMU yang betul dalam perniagaan perlu dipelajari
5) SISTEM perniagaan perlu ditambahbaik & PELAJARAN BERTERUSAN - "Orang kaya sentiasa belajar, orang miskin sentiasa rasa dirinya dah pandai.
6) TINDAKAN yang betul & tepat (Fast Action Fast Result)
7) IMPIAN (OBJEKTIF) perniagaan perlu jelas
8) 'KONGSI KEK', semakin memberi semakin bertambah rezeki.
9) USAHA KUAT perlu berterusan. Kita jadi Kreatif bila keadaan tidak selesa

Selain itu, saya juga belajar tentang:

1) Memilih siapa KAWAN kita (Kawan yg berkualiti akan membantu memberi sokongan & memberi idea yg baik)
2) Memilih PEKERJA (cara memotivasikan pekerja)
3) Pelaburan alternatif (cara 1 modal 2 kegunaan) Fixed Deposit & Saham Amanah.
4) Kaedah 'kampung' untuk modal segera yang besar & cara dapatkan pinjaman kewangan ekspress jika dalam kesulitan tanpa melibatkan bank & institusi kewangan (Credit Card Merchant & Pelaburan Emas)
5) Passion yang salah.
6) Power Of Focus




Catatan:
ALI MS
Pengasas Aliza Tshirt
dan; Presiden Tshirt Printing Malaysia (TPM)


Penafian: penulisan ini adalah berdasarkan pengalaman & pendapat peribadi saya sendiri. Jika terdapat sebarang kekhilafan dalam penulisan ini, sila beri pandangan dan dapatkan nasihat dari pakar.



1 comment: